Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 April. - Seramai 13 orang pegawai selaku rombongan awal ('advance party') Pejabat Urusan Jemaah Haji (Pentadbiran dan Perubatan) bagi Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang terdiri daripada lima orang pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Pentadbiran) dan lapan orang pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan) telah bertolak ke Arab Saudi menaiki pesawat Diraja Brunei (RB) BI421 pada pukul 9.20 pagi tadi.
Rombongan yang diketuai oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1447H/2026M ke Arab Saudi adalah bagi membuat persiapan awal pengurusan Hal Ehwal Haji dengan pihak-pihak berkepentingan di Arab Saudi sebelum ketibaan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut hadir bagi mengucap selamat belayar ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim.
Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1447H/2026M dijadualkan bertolak ke Tanah Suci bermula pada 16, 17, 18 dan 19 Zulkaedah 1447 bersamaan 4, 5, 6 dan 7 Mei 2026.